KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dijadual mengadakan pertemuan dengan ketua 191 UMNO Bahagian Sabtu ini untuk mendapatkan maklum balas dan menyelesaikan isu-isu tertangguh, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.
Najib akan bertemu ketua bahagian berkenaan secara individu di ibu pejabat parti di Menara Tun Hussein Onn, katanya dan menurutnya perkara itu adalah sebahagian Program Transformasi Politik (PTP).
"Pertemuan itu adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi Politik. Ia bermula (pertemuan beliau) dengan anggota Parlimen (dari Barisan Nasional), kemudian wakil rakyat negeri Sarawak dan kini ketua-ketua UMNO bahagian.
"Pertemuan pada Sabtu ini sepatutnya disusuli dengan pertemuan dengan wakil rakyat dari Semenanjung Malaysia pada Ahad tetapi pertemuan pada Ahad ditunda," katanya ketika dihubungi.
Tengku Adnan berkata, selepas pertemuan dengan ketua-ketua UMNO bahagian itu, termasuk dari Sabah, satu pertemuan sedang dirancang bagi semua wakil rakyat BN di Sabah dan dengan semua wakil rakyat di Semenanjung. - BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar